Ubah muka

Article in Malay

Kosmo! October 19th, 2008.

Pembedahan lipatan kelopak mata dan implan dagu juga popular.

PEMBEDAHAN plastik berada antara keperluan dan kemahuan. Keputusan muktamad terletak pada pelanggan

PEMBEDAHAN plastik berada antara keperluan dan kemahuan. Keputusan muktamad terletak pada pelanggan

 

KULITNYA putih dan gebu, tubuhnya pula montok pada ketinggian yang sederhana itu. Malah, setiap kali melintas di depan sekelompok anak muda, dirinya memang menjadi usikan dan siulan. Namun, dia masih belum menemui cinta idaman. Katanya, ia disebabkan matanya yang berkelopak satu lipatan.

Bagi mencapai kesempurnaan, Angela sanggup pergi mendapatkan perkhidmatan pakar bedah kosmetik. Anak tunggal keluarga Wong itu berhabis RM4,300 untuk pembedahan itu.

“Saya nak mata yang sempurna,” katanya yang percaya ia akan membawa lebih banyak kebaikan kepada dirinya.

Kisah kelopak mata dapat dilihat lebih serius, kata Dr. Iqbal Farim Rizal Wong, melalui kes seorang wanita Cina yang berdepan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan.

“Dia mempunyai rekod pendidikan yang baik. Tetapi setiap kali pergi untuk sesi temu duga, penemu duga sering tersalah anggap dengan memikirkan dia seorang yang selalu mengantuk atau malas hanya kerana dia mempunyai kelopak mata lipatan tunggal,” ujarnya yang merupakan konsultan perubatan jemputan di Perfect Enhancement Sdn. Bhd. (PESB).

Satu lagi kes yang hampir sama melibatkan seorang wanita yang memiliki buah dada yang terlalu besar.

“Dia sentiasa diusik oleh lelaki yang bertembung dengannya. Malah kalau mereka (lelaki) bercakap dengannya, mata mereka pasti ke bahagian dadanya.

“Selain itu, dia juga mengalami masalah sakit belakang yang teruk. Jadi rawatan kosmetik dapat membantu meringankan ‘beban’ yang ditanggung itu sama ada dari segi emosi, fizikal atau psikologi,” kata Dr. Iqbal lagi.

Pendek kata, pada peringkat ini, jurang antara tujuan rawatan kosmetik, sama ada untuk kecantikan atau kesihatan dilihat tidaklah terlalu besar.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Dr. Iqbal Farim

Dr. Iqbal Farim

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Masalah di Malaysia, kata Iqbal, ialah apabila pembedahan kosmetik menjadi isu tabu.

“Botox, menyuntik fillers, melakukan rawatan laser, dermabrassion, atau menggunakan bahan kosmetik yang menghalang atau melambatkan kesan penuaan, semuanya itu rawatan kosmetik.

“Ia melibatkan penambahbaikan pada ciri sedia ada,” ujarnya yang menjelaskan rawatan kosmetik terbahagi kepada dua kelas iaitu sama ada ia melibatkan pembedahan ataupun tidak.

Kata Dr. Iqbal, sehingga hari ini belum ada rekod yang mengaitkan pembedahan kosmetik dengan kematian.

“Masalah hanya boleh timbul di peringkat anaestetik atau selepas pembedahan, atau kerana kesan anaestatik yang digunakan yang memberi kesan kepada penyakit serius sedia ada pada pelanggan itu sendiri.

“Kalau difikirkan, pembedahan kosmetik tidak melibatkan sebarang organ penting tubuh. Pada kebanyakan masa, ia hanya menyasarkan bahagian kulit atau lemak pada tubuh.

“Dan kalau perkara seperti itu (koma atau kemalangan) terjadi, ia mungkin saja kerana pembedahan dilakukan oleh mereka yang tidak bertauliah atau tidak mempunyai kelulusan yang sah,” ujar Dr. Iqbal.

Menurutnya, PESB merupakan satu-satunya agensi tempatan yang bekerjasama dengan pakar kosmetik tempatan yang mendapat kelulusan untuk menjalankan sebarang pembedahan kosmetik.

“Kebanyakan agensi lain tidak mempunyai doktor pakar sendiri. Selalunya mereka menggunakan khidmat jururawat atau pakar kecantikan yang tidak mempunyai sebarang kelulusan dalam surgeri dan lazimnya, pengunjung tidak mengetahui status ‘pakar’ yang merawat mereka itu,” tambahnya.

 

 

 

Sehingga hari ini, Malaysia mempunyai 42 pakar bedah kosmetik di seluruh negara yang menjalankan kira-kira 3,000 pembedahan setiap tahun.

“Pelanggan yang mendapatkan rawatan kosmetik ini, walaupun mereka tidak berbangga melakukannya, mereka tetap mendapatkannya. Sama ada mereka mendapatkannya di sini atau di luar negara, keputusan sering disandarkan kepada aspek malu kepada keluarga dan teman-teman serta kos.

“Ada sesetengah yang beranggapan melakukannya di negara jiran seperti Thailand, adalah lebih murah. Sedangkan kadar komplikasinya adalah jauh lebih tinggi.

“Pelanggan juga perlu berdepan dengan halangan bahasa apabila pihak yang merawat mereka tidak dapat menjelaskan dengan lebih terperinci tentang kesan selepas mendapatkan rawatan,” jelas Dr. Iqbal yang sudah tujuh tahun terlibat dalam bidang surgeri ini.

Pembedahan berulang di tempat yang sama, kata Dr. Iqbal, lebih sukar memandangkan ia merupakan ‘parut’. Pada bahagian itu, katanya, daging menjadi lebih keras berbanding sebelum pembedahan. Disebabkan itulah, perkara seperti ‘kecacatan’ hidung Michael Jackson tidak mustahil untuk berlaku.

Melihat senario di Malaysia, kata Dr. Iqbal, rawatan yang paling tinggi mendapat permintaan ialah meregangkan kulit wajah (facelift), pembedahan lipatan kelopak mata (blepharoplasty) dan implan dagu.

Layari laman www.perfectenhancement. com untuk maklumat lanjut tentang perkhidmatan agensi rawatan kecantikan kosmetik ini. – FATIMI NADIAH ZAINUDEEN